Alhamdulillah, Majlis Perbandaran Kluang telah berjaya memperolehi Anugerah Bandar Paling Bahagia Tahun 2026. Anugerah ini telah disampaikan oleh YB Tuan Nga Kor Ming, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada YBhg. Datuk Haji Abdul Ghani Bin Abdul Rashid, Ketua Whip Majlis Perbandaran Kluang, diiringi TPr. Haji Iskandar Bin Suparlan, Ketua Jabatan Perancangan Bandar dan Landskap, MPK. Turut hadir adalah barisan Ahli Majlis MPK dalam program tersebut.
Pengiktirafan ini bersempena Majlis Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang bertemakan “Bijak Digital, Cipta Bahagia Bersama”. Anugerah ini diberikan kepada bandar yang mencapai skor tertinggi dalam Indeks Kebahagiaan Malaysia melalui penilaian Program MURNInets yang dilaksanakan oleh PLANMalaysia dan pengukuran melalui Malaysian Happinest Index (MHI) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Kejayaan ini lebih bermakna apabila kedua-dua PBT di Daerah Kluang iaitu MPK dan MDSR turut menerima pengiktirafan yang sama.
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua yang menyumbang kepada kejayaan ini termasuklah seluruh warga Kluang atas komitmen, kerjasama dan sokongan padu dalam menjadikan Kluang sebuah bandar yang harmoni, sejahtera dan membahagiakan.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kita terus memperkukuh kesejahteraan komuniti dan kelestarian bandar pada masa hadapan.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
