Operasi pemeriksaan Bazar Ramadan 2026 bagi kategori makanan telah dilaksanakan semalam melibatkan dua lokasi iaitu Bazar Ramadan Taman Makmur dan Bazar Ramadan Pekan Kahang.
Operasi yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan itu bertujuan memastikan tahap kebersihan serta keselamatan makanan sentiasa terjamin sepanjang bulan Ramadan, di samping memastikan semua pengendali makanan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Hasil pemeriksaan mendapati tiada kompaun dan tiada akuan sitaan dikeluarkan, namun sebanyak empat notis amaran telah diberikan kepada peniaga atas beberapa kesalahan yang dikenal pasti. Antara kesalahan yang dikesan ialah pengendali makanan tidak menjalani suntikan anti-typhoid serta tidak menghadiri kursus pengendalian makanan seperti yang diwajibkan.
Tindakan penguatkuasaan diambil di bawah peruntukan JPU 20 Undang-Undang Kecil 13 dan JPU 21 Undang-Undang Kecil 8(1) bagi memastikan semua peniaga mematuhi syarat kesihatan dan kebersihan yang telah ditetapkan.
Orang ramai khususnya para peniaga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil pada masa akan datang.
Sumber: Jabatan Kesihatan Persekitaran Dan Pelesenan
