Usaha bersepadu membanteras penularan wabak denggi terus dipergiat apabila Aktiviti Gotong-Royong Membanteras Aedes telah dilaksanakan di Taman Sri Kluang, hari ini. Program yang diadakan pada hari Sabtu itu melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan, Pejabat Kesihatan Daerah, SWCorp/SWM, serta masyarakat setempat.
Aktiviti ini diatur gerak khusus bagi menangani kawasan yang dikenali pasti kawasan wabak denggi, dengan memberi tumpuan kepada pengesanan lokasi yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Pelbagai aktiviti pembersihan telah dilaksanakan, antaranya kutipan sampah pukal, cantasan pokok, aktiviti Cari dan Musnah di kawasan berisiko, kutipan sampah di sekitar kawasan perumahan, serta pembersihan awam di laluan belakang rumah.
Menurut pihak penganjur, penglibatan aktif penduduk setempat amat penting bagi memastikan keberkesanan usaha pencegahan ini. Selain meningkatkan tahap kebersihan persekitaran, program gotong-royong sebegini juga mampu memupuk kesedaran dan tanggungjawab bersama dalam menjaga kesihatan komuniti.
Sehubungan itu, warga Kluang dinasihatkan agar meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan menghapuskan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar kediaman masing-masing. Langkah mudah tetapi berkesan ini diyakini mampu mengurangkan risiko penularan denggi di kawasan perumahan.
Usaha berterusan dan kerjasama semua pihak adalah kunci utama dalam memastikan persekitaran yang bersih, sihat dan selamat untuk semua.
Hapuskan Aedes, Cegah Denggi!
Sumber: Jabatan Kesihatan Alam Sekitar dan Pelesenan
