MENU

 

Pondok yang dibina penceroboh tanah bagi menjalankan aktiviti pertanian.

KLUANG - Penguat kuasa Pejabat Tanah daerah ini menahan tiga lelaki dan seorang wanita kerana menceroboh tanah kerajaan di PTD 5156, Mukim Renggam, dekat sini, semalam.

Operasi berkenaan adalah penguatkuasaan bersepadu antara Pejabat Tanah Kluang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Majlis Daerah Simpang Renggam.

Menurut Pentadbir Tanah daerah, Mustaffa Kamal Shamsudin, operasi yang dijalankan itu hasil daripada maklumat orang awam.

Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana dilihat telah berlaku pencerobohan tanah kerajaan di PTD 5156, Mukim Renggam.

“Hasil siasatan mendapati kawasan seluas kira-kira 20 hektar telah dicerobohi dan disyaki untuk tujuan pertanian.

“Tapak pencerobohan juga telah mula ditanam dengan tanaman pokok pisang seluas kira-kira 0.8 hektar. Selain itu, terdapat dua pondok telah dibina dan semua struktur binaan serta tanaman tersebut telah pun dimusnahkan,” katanya kepada  Sinar Harian.

Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati tanah kerajaan tersebut sebelum ini telah beberapa kali dicerobohi pihak berlainan.

Mustaffa Kamal berkata, hasil soal siasat terhadap penceroboh, mereka mengakui telah menceroboh kawasan tersebut lebih kurang tiga hingga empat bulan lalu di mana modus operandi mereka adalah menggunakan jalan pertanian dari ladang berhampiran.

Jelasnya, kesan pencerobohan tidak dapat dikesan berikutan jarak kawasan tersebut adalah 300 meter daripada jalan utama.

“Hasil daripada operasi yang dijalankan ini tiga lelaki  berusia di antara 22 hingga 41 tahun  telah ditahan dan dua jentera JCB telah disita.

“Hasil soal siasat juga mendapati mereka telah mendapat arahan daripada seorang wanita berusia 51 tahun untuk meneroka kawasan tersebut. Wanita yang dipercayai terlibat ini juga telah kami tahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, semua penceroboh akan didakwa di bawah seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dan jika sabit kesalahan boleh didenda yang tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak melebihi satu tahun.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan itu melibatkan 28 anggota penguat kuasa yang diketuainya.

“Operasi yang dijalankan ini akan dibuat secara berterusan bagi menjejaki penceroboh yang menceroboh tanah tanpa kebenaran,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 17 April 2024 - 8:23pm