Majlis Perbandaran Kluang (MPK) melalui Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan telah melaksanakan Operasi Bersepadu 'OPS FLIES' Bersama Agensi pada 27 Julai 2026 bermula pada jam 8.30 pagi bagi menangani isu kacau ganggu lalat, pencemaran alam sekitar, dan risiko kesihatan awam yang berpunca daripada aktiviti penternakan.
Operasi ini telah diketuai oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang, Tuan Mohd Fahmy bin Yahya, dan disertai oleh pegawai serta anggota penguat kuasa daripada beberapa agensi iaitu Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Pejabat Kesihatan Daerah Kluang, Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Kluang, Pejabat Pertanian Daerah Kluang, dan Pejabat Tanah dan Daerah Kluang dengan keseluruhan kekuatan seramai 37 orang anggota.
Operasi telah dijalankan di dua (2) premis penternakan dan satu (1) stor pembungkusan baja yang dikenal pasti berpotensi menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk setempat, iaitu:
- Kandang Khinzir
Lot 2900, Lot 3097 dan Lot 3098, Batu 5, Jalan Air Hitam, 86100 Kluang. - Thoong Sen Breeder Farm
Lot 5927, Rancangan Tanah Tinggi Sungai 59/57, Jalan Johor-Air Hitam, Simpang Renggam, 86200 Kluang. - Uncle William Biotech Sdn. Bhd.
Lot 4130, Mukim Machap, Batu 55, Jalan Johor, 86100 Air Hitam.
Sepanjang operasi dijalankan, pemeriksaan menyeluruh telah dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa, di samping mengenal pasti punca pembiakan lalat dan serangga pembawa penyakit yang boleh menjejaskan kesihatan awam serta kesejahteraan penduduk.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa melibatkan aspek kebersihan, kesihatan awam, pelesenan, dan kawalan pembangunan. Susulan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil seperti berikut:
- Tujuh (7) Notis Amaran telah dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kluang atas kesalahan mendatangkan kacau ganggu awam dan bau busuk, mendirikan bangunan tanpa kebenaran bertulis daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah, serta mempamerkan iklan tanpa kelulusan.
- Empat (4) Perakuan Pungutan Serangga Pembawa Penyakit Dari Premis telah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kluang berikutan penemuan pembiakan larva nyamuk dan berenga (maggot) lalat di premis yang diperiksa.
- Satu (1) Notis Seksyen 8 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 telah dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kluang bagi mengarahkan pemilik premis melaksanakan kerja-kerja pembersihan menyeluruh untuk menghapuskan tempat pembiakan serangga pembawa penyakit dan
- Satu (1) Kajian Indeks Lalat telah dilaksanakan oleh Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Kluang bagi menilai tahap kepadatan populasi lalat di kawasan premis sebagai langkah pemantauan dan kawalan.
Sumber:
Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan, MPK
