MENU

 

Pihak Jakoa mengadakan perbincangan meminta penduduk di kawasan tersebut pindah selewatlewatnya Rabu ini

KLUANG - Sebanyak 15 keluarga terdiri daripada 62 Orang Asli yang menceroboh tanah rizab kerajaan di Kampung Dato’ Abdul Rahman Yassin, di sini, sejak lebih 10 tahun lalu, diarah pulang ke tempat asal mereka di Rompin, Pahang, selewat-lewatnya Rabu ini.

Pegawai Daerah Kluang, Mohamad Fuad Radzuan berkata, tindakan itu diambil setelah notis peringatan akhir diserahkan kepada penduduk di situ pada Khamis lalu, kerana mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

Beberapa notis sudah dikeluarkan

Menurutnya, sebelum ini, satu notis telah dikeluarkan kepada penduduk terbabit bertarikh 9 September 2014 daripada pihaknya selain notis pengosongan kawasan tanah pada 3 September 2014 daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) namun tidak diendahkan.

“Susulan itu, sepasukan anggota daripada Pejabat Tanah Daerah Kluang, Majlis Perbandaran Kluang, Jakoa dan pasukan polis telah melaksanakan penguatkuasaan dengan merobohkan kediaman  penduduk yang telah dikosongkan.

“Bagi mereka yang masih belum mengosongkan rumah, tempoh tiga hari diberikan sehingga Rabu ini, untuk mereka berbuat demikian bagi mengelak dikenakan tindakan di bawah Seksyen 425 (1)(a) Kanun Tanah Negara,” katanya, semalam.

Tindakan menyeluruh terhadap penceroboh

Mohamad Fuad berkata,  tindakan yang dilakukan pihaknya adalah tindakan menyeluruh  terhadap penceroboh tanah kerajaan di daerah ini dan tidak hanya  tertumpu kepada penduduk Orang Asli di kaki Gunung Lambak itu sahaja.

Jelasnya, sebelum ini, beberapa penduduk Orang Asli berasal dari negeri ini yang menetap di sini telah pun dipindahkan di Kampung Tanah Runtuh, Kluang, dan baki yang tinggal itu adalah  penduduk berasal dari Rompin, Pahang.

“Di kawasan tanah rizab seluas satu hektar ini, kini terdapat 25 rumah keseluruhannya. Lima telah dikosongkan dan dirobohkan, manakala baki 19 rumah lagi dijangka akan dirobohkan sehingga Rabu ini,” katanya.

Jangan ambil kesempatan

Mohamad Fuad turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil kesempatan ke atas penduduk Orang Asli terbabit terutama bagi tindakan  yang diambil pihaknya itu.

Beliau berkata, tindakan yang diambil itu adalah berdasarkan kepada undang-undang negara selain persetujuan pihak di Rompin, Pahang, untuk membawa mereka pulang sebelum ini.

Sudah dapat rumah sewa

Salah seorang penduduk kampung berkenaan, Idah Awang, 30, berkata, dia bersama suami dan dua anak mereka telah menetap di kampung itu lebih sembilan tahun lalu.

Menurutnya, penghijrahan mereka ke kampung itu kerana  menghadapi masalah keluarga.

Selain itu, menetap di situ memudahkannya yang menghidap penyakit jantung berulang menjalani pemeriksaan setiap bulan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom Kluang.

Jelasnya, sebelum tinggal di kampung ceroboh itu dia sudah membuat pemeriksaan dengan Pejabat Tanah Kluang berhubung status tanah tersebut dan mengetahui  bahawa tanah didiaminya itu tanah rizab kerajaan dan bukan tanah kurnia.

“Sejak tu, saya janji pada diri akan pergi sendiri jika tiba masa kawasan ni kena kosongkan.

“Jadi hari ni (semalam) saya dengan rela hati tinggalkan tempat ni sebab bukan tempat saya. Saya akan pindah ke Kampung Tengah kerana dah dapat sebuah rumah sewa di sana,” katanya.

Pindah rumah anak

Manakala, Zainal Abdullah, 48, berkata, dia terpaksa akur dengan arahan tersebut dan akan berpindah ke rumah anak-anaknya di sekitar negeri ini.

Penduduk Orang Asli dari Rompin, Pahang, itu berkata, dia sekeluarga selesa di situ, walaupun tiada bekalan air dan elektrik.

“Tapi, kemudahan lain macam hospital, sekolah, dan dekat dengan bandar memudahkan kami,” katanya.