MENU

HALIMAH (tengah) menandatangani plak pelancaran projek RKK Pengekalan dan Pemuliharaan Bangunan Warisan, Bandar Selamat dan Sihat di Taman Merdeka, Kluang, hari ini. - Foto Adnan Ibrahim
 

KLUANG: Bandar Kluang di sini, bakal menjadi perintis Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pengekalan dan Pemuliharaan Bangunan Warisan, Bandar Selamat dan Sihat.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique, berkata pembangunan projek itu antara lain membabitkan cadangan pembinaan laluan pejalan kaki dari Stesen Keretapi Kluang ke Taman Merdeka yang menjadi tumpuan masyarakat serta lokasi strategik.

Katanya, ia turut membabitkan pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 80 meter di Jalan Sultanah dan Jalan Teoh Siew Khor di sini.

"Rancangan ini adalah antara cadangan pelaksanaan projek menaik taraf elemen program bandar selamat dan sihat yang dikenal pasti dalam RKK.

"Ia bermatlamat mengekal dan memulihara bangunan warisan untuk tatapan serta penghayatan generasi akan datang, di samping menjana aktiviti perniagaan di koridor warisan Kluang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat kawasan RKK sekitar Taman Merdeka, Kluang dekat sini, hari ini.

Halimah berkata, lima lokasi lain di sekitar bandar ini dikenal pasti dalam perancangan RKK iaitu Jalan Mersing, Jalan Ismail, Jalan Lambak, Jalan Tunku Mahkota dan Taman Merdeka.

"Orang ramai boleh mengemukakan pandangan dan maklum balas kepada Majlis Perbandaran Kluang berhubung rancangan berkenaan dalam tempoh sebulan hingga 11 Februari depan.

"Maklum balas dan cadangan diterima akan dipertimbangkan oleh Jawatan Kuasa Siasatan Tempatan dan Perancangan Awam yang dilantik oleh Jawatan Kuasa Perancangan Negeri," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/113294