Perhimpunan bulanan Majlis Perbandaran Kluang (MPK) bagi bulan Januari 2026 telah berlangsung dengan lancar pada pagi ini bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, melibatkan kehadiran barisan pengurusan dan kakitangan MPK.
Perhimpunan dimulakan dengan Lafaz Ikrar Perkhidmatan Awam, Ikrar Akta Rahsia Rasmi serta Ikrar Bebas Rasuah yang dipimpin oleh Encik Azmi bin Ahmad, Setiausaha MPK; Sr. Haji Muhammad Haii bin Abu Hassan, Pegawai Penilaian MPK; dan Encik Zulfikarfirdaus bin Safee, Pegawai Penguat Kuasa MPK. Lafaz ikrar tersebut mencerminkan komitmen berterusan warga MPK dalam menjunjung integriti, amanah dan profesionalisme dalam perkhidmatan awam.
Dalam ucapannya, Yang Dipertua MPK, Encik Mohd Fahmy bin Yahya, K.B.; P.A., menekankan tanggungjawab besar yang digalas oleh setiap penjawat awam. Beliau menggalakkan semua kakitangan agar terus mengamalkan budaya kerja cemerlang, bersikap positif serta mengekalkan kecergasan fizikal dan mental dalam melaksanakan tugasan harian.
Perhimpunan diteruskan dengan penyampaian pencapaian MPK kepada jabatan-jabatan terlibat serta penyerahan surat pelantikan wakil skim perkhidmatan Majlis Bersama Jabatan (MBJ). Ucapan tahniah dan syabas dizahirkan kepada semua penerima atas komitmen dan sumbangan yang telah diberikan.
Sebagai pengisian penutup, perhimpunan disusuli dengan taklimat Keselamatan Lalu Lintas yang disampaikan oleh wakil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Daerah Kluang. Taklimat tersebut memberi penekanan terhadap peranan JPJ dalam memastikan keselamatan, kelancaran serta pematuhan undang-undang lalu lintas di jalan raya, di samping usaha mendidik pengguna melalui pelbagai kempen keselamatan.
Sumber: Jabatan Khidmat Pengurusan
