MENU

 

Persatuan Mahasiswa Kluang bersama penduduk kampung membersihkan persekitaran Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, semalam.

KLUANG - Seramai 100 penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang bernaung di bawah Persatuan Mahasiswa Kluang, mengambil kesempatan pada cuti semester ini melakukan aktiviti kemasyarakatan melalui Program Semai Bakti Goyong-Royong Perdana di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, di sini, semalam.

Pengerusinya, Khairul Azhar Mohd Habibollah berkata, turut terlibat dalam program itu adalah kakitangan SWM Environment Sdn Bhd (SWM), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Yayasan Perbandaran Kluang (YPK).

Menurutnya, aktiviti tersebut bertujuan menanam semangat melakukan kerja kebajikan dalam kalangan penuntut dengan harapan ia boleh diterapkan dalam kehidupan harian mereka di pusat pengajian masing-masing.

“Selain membersihkan persekitaran perkuburan turut diadakan adalah majlis tahlil dan doa selamat serta membaik pulih pondok rehat yang telah lama tidak diselenggarakan selama ini bagi kemudahan pengunjung ketika datang menziarahi.

“Tujuan utama kerja amal ini dilaksanakan adalah sebagai usaha menjadikan tanah perkuburan ini sentiasa bersih walaupun ada di antara pusara di sini telah lama tidak diziarahi sanak saudara  terdekat,” katanya.

Khairul Azhar berkata, aktiviti amal seumpama itu akan terus dilaksanakan oleh pihaknya pada masa akan datang terutama sekali ketika musim cuti semester sebagai usaha untuk memenuhi masa lapang ahli persatuan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi YPK, Akmal Hakim Abd Thalib berkata, pihaknya akan sentiasa memberikan kerjasama kepada mana-mana pihak untuk menjalankan kerja amal seperti itu.

Menurutnya, aktiviti berkenaan tidak hanya tertumpu di kawasan awam namun turut memberikan perhatian di penempatan masyarakat yang kurang berkemampuan bagi menjamin keselesaan kehidupan mereka.

“Ini kerana menjadi fokus utama YPK untuk melihat suasana bersih dan terjaga di setiap sudut penempatan di sini agar dengan cara ini penularan pelbagai penyakit bawaan binatang dan unggas seperti denggi dapat di banteras,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 14 Oktober 2019 - 3:16pm